SHAH ALAM – Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa gabungan parti itu mampu merampas Selangor dengan menambah 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan sebagai mimpi di siang hari.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Abbas Azmi berkata, kenyataan Mohamed Azmin itu tidak berpijak pada realiti kerana rakyat Selangor sudah bijak menilai dan menolak politik lama yang hanya bersandarkan retorik tanpa prestasi.
“Semoga beliau cepat kembali ke dunia nyata dan sedar bagaimana Rancangan Selangor Pertama (RS-1) telah membawa manfaat besar kepada rakyat.
"Rakyat Selangor ini cerdik, mereka tahu beza antara kaca dan permata. Kalau beliau (Mohamed Azmin) kata nak tambah 10 kerusi, itu tak ubah macam igauan siang hari,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Abbas turut membidas prestasi Mohamed Azmin ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor lalu yang menyaksikan beliau gagal menawan negeri ini walaupun ketika itu PN dikatakan dilanda ‘tsunami hijau’.
“Waktu itu kononnya tsunami hijau, tapi Mohamed Azmin selaku bekas Menteri Besar dan bekas Pengerusi PH Selangor sendiri, tetap gagal rampas negeri.
"Sekarang tiba-tiba beliau dakwa hendak tambah 10 kerusi, mimpi apa pula ni?” sindir beliau.
Mengulas lanjut, Abbas menjelaskan bahawa prestasi kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari terbukti memuaskan dengan sokongan rakyat yang semakin kukuh.
“Kita tengok maklum balas rakyat, mereka puas hati kerana kerajaan negeri bekerja, bukan sekadar berpolitik.
"Kalau ada tsunami yang bakal berlaku, saya yakin itu tsunami (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim, bukan khayalan Mohamed Azmin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa PH Selangor yakin mampu menawan semula 22 kerusi yang kini dikuasai PN termasuk DUN Hulu Kelang yang dimenangi Mohamed Azmin pada PRN Selangor lalu.
Beliau berkata, keyakinan itu bukan sekadar retorik, malah berdasarkan gerak kerja tersusun yang digerakkan oleh penyelaras DUN dan jentera parti di kawasan-kawasan terbabit yang menunjukkan potensi tinggi untuk merampas kembali kerusi PN pada PRN akan datang.
“Kita juga menerima maklumat daripada akar umbi bahawa prestasi beberapa ADUN PN amat mengecewakan dan sering menjadi rungutan rakyat setempat,” tegas beliau.
Terdahulu, Mohamed Azmin dalam satu video di Facebook memaklumkan bahawa PN dijangka mampu memenangi 10 lagi kerusi DUN pada PRN akan datang.
Beliau menjelaskan bahawa Selangor menjadi salah satu negeri yang akan ditadbir PN.