Tiada pengesahan rasmi misteri bunyi pelik di Shah Alam - Suee Lim

Iklan
Suee Lim (tengah) memotong reben sebagai simbolik perasmian Program Sejati Madani Sewaan ATV Pelancongan di Balai JPKK Parit 7 Baroh, Sabak Bernam pada Sabtu.

SABAK BERNAM - Misteri bunyi pelik yang didakwa mengganggu ketenteraman penduduk sekitar Shah Alam sejak bulan lalu masih belum mendapat sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat atau maklum balas konkrit daripada PBT berkaitan gangguan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Tetapi kalau ada butiran lanjut mengenai bunyi-bunyi misteri itu, kita akan umumkan kepada pihak media termasuk orang ramai yang prihatin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Sejati Madani Sewaan ATV Pelancongan di Balai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parit 7 Baroh di sini pada Sabtu.

Iklan

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan menjelaskan, pihaknya memahami kebimbangan penduduk yang terkesan dengan gangguan tersebut.

"Kita akan cuba beri jawapan sebaik saja kita terima maklumat sahih,” ujarnya.

Iklan

Menurut beliau, buat masa ini tiada aduan lanjut diterima selepas laporan awal berhubung kejadian itu tersebar.

“Setakat ini tiada (aduan) lagi, tapi kalau bunyi itu muncul semula, mungkin mereka akan maklumkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau sempat berseloroh mengenai keadaan di Sekinchan turut terkenal dengan 'bau' tersendiri sebagai identiti kawasan nelayan di situ.

“Bunyi tak ada di Sekinchan, tapi bau ada, sebab bila masuk sekejap pun bau dah sampai, kalau tak ada bau itu, kita tak tahu dah sampai Sekinchan.

"Orang tanya kenapa tak buang bau tu? Saya kata jangan sebab ini identiti kita, malah tak jejaskan kesihatan," seloroh beliau.

Sinar Harian pada 23 Mei lalu melaporkan, penduduk di Shah Alam digemparkan dengan bunyi letupan kuat dan pelik yang kedengaran secara tiba-tiba.

Seorang pemilik akaun Facebook, Amir Ndok memaklumkan, dia terdengar bunyi kuat pada jam 11.31 malam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, susulan aduan diterima, pihaknya telah menggerakkan anggota bertugas menjalankan pemeriksaan sekitar kawasan tempat letak kenderaan sekitar Stadium Shah Alam.

Suee Lim dalam sidang akhbar sebelum ini memaklumkan, kerajaan Selangor memandang serius aduan orang awam berhubung bunyi kuat dan misteri yang mengganggu ketenteraman penduduk di sekitar Shah Alam.

Beliau berkata, siasatan segera sedang diatur dan PBT telah diminta untuk mengenal pasti punca sebenar gangguan tersebut.