KULIM – Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika sedang mandi di kawasan perkelahan Sungai Sedim di sini pada pagi Sabtu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, ketika kejadian kira-kira jam 10.05, mangsa berusia 25 tahun dilaporkan sedang mandi di sungai terbabit sebelum dikhuatiri hilang.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada jam 10.06 pagi memaklumkan kejadian tersebut, sebelum sebuah jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech bersama enam anggota digerakkan ke lokasi.
“Dengan jarak ke lokasi kejadian lebih kurang 40 kilometer, jentera tiba sekitar jam 10.48 pagi bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya.
Operasi turut disertai oleh Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan dan Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Muhamad Asyraf Zarrin Baharudin.
Dalam masa sama, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut bersama-sama melaksanakan operasi mencari dan menyelamat.
“Tindakan pencarian peringkat awal dilakukan di kawasan permukaan sekitar lokasi kejadian dan perkembangan lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.