Kerajaan peruntuk RM53,100 bagi kebajikan media sambilan - Fahmi

Iklan
KUALA LUMPUR, 14 Jun -- Fahmi (kanan) mengiringi Anwar ketika hadir pada Kemuncak Hari Wartawan Nasional 2025 di WTCKL hari ini. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM53,100 tahun ini bagi dua inisiatif kebajikan untuk pengamal media sambilan, iaitu lanjutan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan caruman i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM37,170 diperuntukkan bagi lanjutan perlindungan SKSPS manakala RM15,930 lagi untuk caruman i-Saraan KWSP.

Iklan
Iklan

Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan hasil sinergi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan PERKESO.

"Antara manfaat perlindungan di bawah SKSPS ialah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat dan elaun layanan sentiasa," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Iklan

Bertemakan"Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika", majlis kemuncak yang dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Iklan

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 bersama barisan pengurusan tertinggi syarikat media negara.

Fahmi berkata, pada tahun ini, pemberian perlindungan untuk pengamal media sambilan diperluas kepada simpanan persaraan di bawah i-Saraan melibatkan peruntukan sebanyak RM15,930 dan inisiatif itu akan memberikan manfaat selepas persaraan mereka kelak.

Mengenai Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sejak April 2023, Fahmi berkata setakat ini sebanyak 441 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif itu melibatkan jumlah sumbangan lebih RM1.2 juta.

Sementara itu, menyentuh perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), beliau berkata, kerajaan melalui Bernama telah menganjurkan lima siri latihan berkaitan AI sejak Februari lepas dalam usaha memperkasakan kemahiran digital dalam kalangan pengamal media tempatan.

Beliau berkata, latihan sulung bertemakan AI in the Newsroom bermula di Kuala Lumpur sebelum diteruskan ke Kuching, Kota Kinabalu dan berakhir di Terengganu minggu lepas manakala tujuh lagi siri latihan dijadualkan berlangsung sepanjang bulan ini dan Julai nanti.

"Ia melibatkan kursus AI Content Creation & Automation di Kedah dan Johor; Broadcasting with AI di Kuala Lumpur; AI for Journalism: Revolutionising News in the Digital Age di Pahang, Perlis dan Melaka; serta OBS - Revolusi Laporan Langsung Era Digital di Kuala Lumpur," katanya.

Fahmi berkata, pelaburan dalam latihan, pembangunan kemahiran digital dan penerapan teknologi AI merupakan langkah penting untuk menjamin daya saing industri media negara.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri atas peruntukan RM1 juta kepada Pusat Kecemerlangan Bernama pada sambutan HAWANA 2024 di Kuching, Sarawak bagi menganjurkan kursus dan latihan berkaitan teknologi AI," katanya.

Sambutan HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi, dengan Bernama selaku agensi pelaksana, bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.

Tarikh 29 Mei telah diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium untuk membentuk minda masyarakat bermaklumat. - Bernama