MELAKA – Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengharapkan dua tokoh yang banyak berjasa kepada parti dapat mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk melepaskan jawatan dalam kabinet.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi juga dianggap sebagai 'ayah' yang telah memberi mesej jelas kepada kepimpinan bahawa dalam sesuatu pemilihan, akan ada yang menang dan yang kalah.
“Namun, yang menang perlu memikul amanah manakala yang kalah harus dirangkul untuk bersama-sama dalam perjuangan,” katanya.
Shamsul berkata, beliau berharap mesej ‘pujukan’ yang disampaikan presiden parti baru-baru ini dapat dipertimbangkan oleh bekas Timbalan Presiden dan bekas Naib Presiden PKR, agar mereka dapat meneruskan khidmat sebagai menteri.
“Jadi saya harap kedua-dua tokoh yang besar semangatnya kepada parti dapat memikirkan semula keputusan itu. Sebenarnya, tidak ada sebarang masalah besar.
“Kadang-kadang apabila kita berucap, ada sentimen, emosi dan sebagainya, tetapi saya percaya rakyat menilai kita berdasarkan hasil kerja. Kalau mereka kembali (sertai kabinet) dan memimpin, itu tentunya lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program penyampaian sumbangan beg sekolah kepada pelajar B40 dalam Parlimen Hang Tuah Jaya di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keh Seng, Bukit Baru, di sini pada Sabtu.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri masih memberi masa kepada dua menteri yang meletakkan jawatan sebelum ini untuk memikirkan secara mendalam sebelum membuat keputusan muktamad.
Anwar dilaporkan berkata bahawa beliau berharap Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad dapat menyertai semula barisan kabinet pimpinannya.
Sebelum ini, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi selaku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengemukakan surat peletakan jawatan susulan kekalahan mereka dalam pemilihan parti yang berlangsung bulan lalu.
Mengulas lanjut, Shamsul berkata, sekiranya terdapat sebarang pertikaian, perkara itu boleh dibawa ke meja rundingan yang dipimpin sendiri oleh Perdana Menteri.
“Saya yakin dengan kebijaksanaan mereka untuk membuat pertimbangan yang baik dan bersedia ke meja rundingan. Itu yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri bahawa tidak perlu mereka keluar daripada Kabinet,” katanya lagi.
Dalam program tersebut, sebanyak 400 beg sekolah diagihkan kepada pelajar B40 dengan kerjasama Pertubuhan Generasi Inspirasi Melaka, SJKC Keh Seng serta Wanita Keadilan Cabang Hang Tuah Jaya.