SHAH ALAM – Seluruh lapisan masyarakat digesa berwaspada dan memerangi halaman media sosial yang memaparkan kandungan lucah serta tidak bermoral melibatkan kanak-kanak secara habis-habisan.
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek berkata, kewujudan platform tersebut merupakan ancaman serius terhadap keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak.
“Wanita PKR mengecam sekeras-kerasnya kewujudan halaman pedofilia di media sosial.
“Seluruh lapisan masyarakat digesa untuk sentiasa berjaga-jaga dan memerangi halaman media sosial yang memaparkan kandungan lucah dan tidak bermoral secara habis-habisan demi mempertahankan maruah anak-anak kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, satu komuniti dikenali sebagai ‘Grup Budak-budak Sekolah Rendah’ yang mempunyai 12,000 ahli dikesan di Facebook.
Kewujudan kumpulan tersebut didedahkan pempengaruh media sosial, Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 28, yang gambarnya ketika zaman persekolahan turut dimuat naik dan dijadikan bahan kandungan kumpulan berkenaan.
Sehubungan itu, Mek Yun menggesa pihak berkuasa bertindak segera bagi menyekat penyebaran kandungan tidak bermoral tersebut.
Kumpulan terbabit, yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai ‘public group’, bagaimanapun kini sudah tidak boleh diakses.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan menegaskan, pedofilia merupakan ancaman serius kepada keselamatan kanak-kanak.
Justeru, katanya, kesedaran terhadap bahayanya menjadi langkah pencegahan penting bagi memastikan isu tersebut ditangani dengan berkesan.
“Kesedaran mengenai ancaman pedofilia bermula dari rumah.
“Didik anak-anak tentang asas penting kesihatan reproduktif dan sosial, serta mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat,” katanya.