Lelaki ditahan cederakan bekas isteri, ugut bakar rumah

Iklan
Seorang lelaki ditahan kerana mengugut dan mencederakan bekas isterinya di hadapan sebuah kilang di kawasan perindustrian Batu 3, Jalan Apas, Tawau.

TAWAU – Tindakan seorang lelaki mengugut mencederakan dan membakar rumah bekas isterinya membawa padah apabila dia ditahan polis di hadapan sebuah kilang di kawasan perindustrian Batu 3, Jalan Apas, pada Jumaat.

Suspek, seorang warga asing berusia lingkungan 30-an, ditahan kira-kira jam 5 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat susulan kejadian pada 31 Mei lalu apabila suspek bertindak agresif terhadap bekas isterinya dan bekas adik ipar di kediaman mereka di Batu 3, Jalan Apas.

“Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, suspek datang ke rumah bekas isterinya yang berusia 40-an dengan niat ingin berjumpa. Namun, adik mangsa cuba menghalang dan meminta agar suspek tidak mengganggu kakaknya.

Iklan

“Suspek kemudian bertindak agresif dengan menumbuk bekas adik iparnya yang berusia 25 tahun hingga menyebabkan kecederaan pada muka dan patah satu gigi. Mangsa turut mengalami kecederaan di muka dan hidung serta ditendang ketika cuba campur tangan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, suspek turut mengugut mahu membakar rumah keluarga berkenaan dan mengancam akan memukul mangsa sekiranya bertemu di luar.

Iklan

Susulan kejadian itu, suspek ditahan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah.

“Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Dia kini direman untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Jasmin turut menasihati orang ramai agar tidak berdiam diri sekiranya menjadi mangsa ugutan atau keganasan rumah tangga.

“Segera tampil membuat laporan bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil,” katanya.