Razarudin tamat kontrak KPN minggu depan

Iklan
Razarudin

KUALA LUMPUR - Tan Sri Razarudin Husain bakal menamatkan kontrak sebagai Ketua Polis Negara pada 22 Jun depan.

Ia selepas dua tahun beliau memegang tampuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2023.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Berundur akan diadakan pada 20 Jun depan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Untuk info, Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-14 selama dua tahun secara kontrak berkuat kuasa 23 Jun 2023 bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Iklan

Razarudin dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau memulakan karier pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat.

Iklan

Antara jawatan lain yang pernah disandang beliau ialah Penolong Pengarah D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman; Timbalan Komander Special Task Force On Organise Crime, Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah) Bukit Aman; Ketua JSJ Pulau Pinang dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak selama dua tahun sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Perak.

Razarudin seterusnya dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selama setahun serta Timbalan Ketua Polis Negara mulai tahun 2021 sehingga Jun 2023.

Razarudin telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Zainah Othman dan memiliki lima orang cahaya mata.