KLUANG – [DIKEMAS KINI] Sebuah lori cuba mengelak sebuah motosikal sebelum terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kilometer 45 Jalan Mersing, Kampung Seri Lukut di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 8.20 pagi di Kilometer 99, Jalan Batu Pahat - Mersing membabitkan sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun.
“Siasatan awal mendapati lori tersebut dalam perjalanan dari arah Mersing ke Kahang sebelum cuba mengelak sebuah motosikal dari arah bertentangan yang membelok secara tiba-tiba ke kanan.
“Akibatnya, pemandu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan lalu merempuh sebuah rumah banglo satu tingkat yang terletak di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan pada malam Jumaat.
Beliau berkata, kemalangan menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan lori termasuk cermin dan bonet, manakala rumah rosak di bahagian dapur, siling dan bumbung.Tambahnya, pemandu lori hanya mengalami luka ringan di tangan kanan manakala rumah berkenaan tidak berpenghuni
“Ujian saringan air kencing ke atas pemandu menunjukkan keputusan negatif dadah.
"Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959,” katanya.
Sebelum itu tular video menunjukkan keadaan rumah yang dirempuh sebuah lori di Kampung Sri Lukut, Kahang.