Pesawat Air India terima ancaman bom

Iklan
Juruterbang pesawat Airbus A320 itu memaklumkan kepada menara kawalan bahawa terdapat mesej ancaman bom. - Agensi

Pesawat Air India yang bertolak dari Phuket, Thailand ke New Delhi, India itu terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan kecemasan

BANGKOK – Sebuah pesawat Air India dari pulau pelancongan terkenal Phuket, Thailand ke New Delhi, India terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan kecemasan pada Jumaat susulan ancaman bom yang diterima sejurus selepas berlepas.

Menurut pihak Berkuasa Lapangan Terbang Thailand (AOT), juruterbang pesawat Airbus A320 itu memaklumkan kepada menara kawalan bahawa terdapat mesej ancaman bom yang ditemui di dalam pesawat.

Iklan
Iklan

Kejadian mencetuskan panik dalam kalangan penumpang, sehari selepas insiden tragis pesawat Air India yang terhempas di Ahmedabad, India sehingga meragut sekurang-kurangnya 265 nyawa.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Lapangan Terbang Phuket, AOT memaklumkan pesawat itu selamat melakukan pendaratan semula.

Iklan

Laman web penjejakan penerbangan FlightRadar24 menunjukkan pesawat berkenaan membuat pusingan U di ruang udara Laut Andaman tidak lama selepas berlepas, sebelum berlegar beberapa kali di sekitar pesisir pulau berkenaan dan kembali ke landasan.

Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa keselamatan Thailand.

Iklan

Pihak berkuasa juga belum mengesahkan sama ada ancaman itu palsu atau sebaliknya, namun langkah berjaga-jaga telah diambil termasuk pemeriksaan menyeluruh terhadap pesawat dan semua bagasi penumpang.

Kejadian tersebut menambah ketegangan terhadap syarikat penerbangan nasional India itu yang kini berdepan tekanan selepas nahas terburuk dalam sejarah Boeing 787 Dreamliner sehari sebelumnya. - AFP