KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 650 helai jersi disyaki tiruan bernilai RM25,000 di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini pada Selasa.
Pemeriksaan bersepadu itu dijalankan KPDN Kuala Lumpur bersama KPDN Putrajaya dan Selangor sempena perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia menentang Vietnam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, pemeriksaan ke atas lapan gerai dilaksanakan bersama wakil pemilik cap dagang.
"Terdapat lapan gerai yang mempamerkan baju jersi menggunakan cap dagangan berjenama terkenal untuk dijual kepada orang awam yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak.
"Pengesahan awal daripada pihak pengadu mendapati baju jersi berkenaan menggunakan cap dagangan palsu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, sitaan telah diambil membabitkan 650 helai jersi bernilai RM25,000.
Tambahnya, kesemua barangan yang disita dibawa ke Stor Ekshibit KPDN Kuala Lumpur.