Majistret Sivashangari Nagalingam membenarkan suspek lelaki direman selama tujuh hari sehingga 19 Jun ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 1, Kompleks Mahkamah Melaka, pada Jumaat.
Menurut sumber, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an telah ditahan kira-kira jam 6.30 petang, Khamis, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
“Semalam, SPRM telah menahan reman empat individu kerana disyaki terbabit dalam salah guna kuasa dengan menyeleweng dana milik NGO di tempat mereka bekerja.
“Susulan tangkapan itu, SPRM telah mendapat maklumat tambahan bahawa pengerusi ini telah bersubahat dengan keempat-empat suspek terbabit,” katanya pada Jumaat.
Tambah sumber itu lagi, suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2015 hingga 2025.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Pada Khamis, SPRM telah menahan reman empat individu termasuk tiga ahli NGO dengan sitaan aset wang tunai serta harta bernilai kira-kira RM8 juta bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana milik NGO.
Susulan penahanan tersebut, SPRM menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM900,000; membekukan 14 akaun yang terdiri daripada lapan akaun individu dan enam akaun syarikat berjumlah kira-kira RM5 juta; barang kemas; sembilan lot tanah di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor serta empat unit rumah di Melaka.