Pemandu lori cuai didenda RM6,000

Iklan
Chew Ah Sing didenda selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

JOHOR BAHRU[DIKEMAS KINI] Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur, pada Selasa lalu.

Tertuduh, Chew Ah Sing, 69, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya, dengan keadaan bahagian belakang (bucket) lori tidak diturunkan sebelum melanggar kabel elektrik.

Tindakan itu mengakibatkan kerosakan pada kabel elektrik, tiga tiang elektrik, satu tiang lampu isyarat, satu kamera litar tertutup (CCTV) serta sebuah pondok bas.

Iklan

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Kilometer 30.7 Jalan Johor Bahru – Gelang Patah – Pendas, kira-kira jam 3.20 petang pada 10 Jun.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Iklan

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd. Zulkifli.

Mengikut peruntukan undang-undang, Seksyen 43(1) memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan, serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.

Bagi sabitan kedua dan seterusnya, denda boleh meningkat sehingga RM15,000, dan lesen percubaan boleh dibatalkan oleh mahkamah. Mahkamah juga boleh mengendors atau membatalkan lesen memandu tertuduh bergantung kepada keputusan penghakiman.

Sharmaine memohon jaminan minimum memandangkan anak guamnya yang bekerja sebagai pemandu lori berpendapatan RM2,000 sebulan, serta mempunyai tanggungan isteri dan seorang anak yang masih belajar.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 dan memerintahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut. Lesen memandu tertuduh turut diendorskan.