SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan dukacita terhadap nahas melibatkan pesawat Air India Flight 171 yang terhempas berhampiran Ahmedabad, India.
Anwar turut merakamkan ucapan takziah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia kepada keluarga serta orang tersayang kepada semua mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.
"Saya amat sedih apabila mendapat tahu tentang nahas Penerbangan Air India 171. Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga dan orang tersayang kepada semua mangsa yang terlibat.
"Kami turut merasai kesedihan yang dialami oleh India dan berdiri teguh menyatakan solidariti penuh ketika usaha bantuan masih diteruskan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Pesawat Air India dalam penerbangan ke London terhempas beberapa minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, India, pada tengah hari Khamis.
Seramai 242 individu dilapor berada dalam pesawat, termasuk dua juruterbang, 10 anak kapal dan 230 penumpang.
Sehubungan itu, Anwar turut mendoakan agar semua yang terkesan diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan berat tersebut.
"Doa dan ingatan kami bersama para mangsa serta semua yang sedang berkabung atas kehilangan yang amat menyayat hati ini,” katanya.