Proses CCI bagasi di hotel penginapan mudahkan jemaah haji

Iklan
Perkhidmatan City Check In (CCI) atau proses daftar masuk bagasi yang dilaksanakan Lembaga Tabung Haji (TH) di hotel penginapan memudahkan urusan jemaah haji tanpa perlu melalui proses berkenaan di lapangan terbang. Gambar kecil: Nora Azidah, Ali

MAKKAH - Perkhidmatan City Check In (CCI) atau proses daftar masuk bagasi yang dilaksanakan Lembaga Tabung Haji (TH) di hotel penginapan memudahkan urusan jemaah haji tanpa perlu melalui proses berkenaan di lapangan terbang.

Jemaah haji, Nora Azidah Abd Rahman, 51, berkata, proses CCI membuatkan jemaah lebih tenang dan selesa kerana tidak perlu lagi mengangkut bagasi besar ke lapangan terbang.

Iklan
Iklan

“Dari awal tiba hinggalah ‘check in’ bagasi pada hari ini (Khamis) segalanya dipermudahkan dan tiada masalah. Petugas Tabung Haji pun beri kerjasama serta layanan baik lebih daripada VVIP kepada kami.

“Kami dari Abraj Al Tayseer, petugas TH bawa kami ke sini naik van dan daftar masuk bagasi, prosesnya mudah dan tak perlulah bawa bagasi besar lagi ke lapangan terbang apabila nak berangkat ke tanah air nanti,” katanya ditemui pemberita pada proses ‘City Check In’ jemaah haji Malaysia di Abraj Al Janadriyah di sini.

Iklan

Seorang lagi jemaah haji, Ali Salbi, 58, berkata, persiapan yang dilakukan TH memudahkan jemaah kerana tidak perlu beratur panjang untuk mendaftar masuk bagasi.

Bekas guru Pendidikan Khas yang menaiki penerbangan KT001 pada Sabtu malam itu berkata, jemaah haji tidak perlu menunggu lama malah jika perlu berbuat demikian mereka boleh menunggu di dalam bilik.

Iklan

“Alhamdulillah persiapan yang baik daripada Tabung Haji, proses agak lancar mengikut penerbangan ditetapkan. Dalam 10 ke 15 minit prosesnya (CCI) dah selesai.

“Nanti hanya bawa beg kecil yang berisi dua, tiga helai pakaian sahaja ke lapangan terbang apabila nak pulang. Rasa sebak nak pulang ke Malaysia sebab jiwa dah seronok di sini tetapi sudah sampai masanya untuk tinggalkan Tanah Suci,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pejabat Operasi Maktab, Abdul Fattah Mohd Fasor berkata, CCI adalah proses daftar masuk bagasi jemaah haji yang akan berangkat keluar dari Tanah Suci.

“Sebelum ini mungkin jemaah perlu bawa bagasi ke lapangan terbang namun kini proses daftar masuk bagasi dilaksanakan di bangunan penginapan.

“Ia adalah perkhidmatan nilai tambah yang Tabung Haji tawarkan kepada jemaah dan proses ini sama dengan yang dilalui penumpang pesawat di lapangan terbang serta turut melibatkan larangan ditetapkan oleh syarikat penerbangan,” katanya ketika meninjau operasi ‘City Check In’ jemaah haji Malaysia di Abraj Al Janadriyah di sini.

Abdul Fattah berkata, proses CCI tahun ini melibatkan sebanyak 47 sesi bermula Khamis sehingga 24 Jun ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan laluan khas buat jemaah haji kelainan upaya serta warga emas yang uzur.

“Hari ini (Khamis) proses melibatkan 284 jemaah haji bagi penerbangan pertama KT001 yang akan berangkat pulang dari Jeddah pada Sabtu (14 Jun 2025).

“Tempoh proses CCI ini paling lama dalam dua jam tetapi biasanya dalam tempoh sejam selesai bergantung kepada kerjasama daripada itu jemaah sendiri,” katanya.