MAKKAH – Dua lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci pada Khamis menjadikan jumlah keseluruhan 13 kematian setakat ini bagi musim haji 1446H/2025M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jemaah haji berkenaan, Allahyarham Ghazali Ab Rahman, 74, dari Selising, Kelantan menghembuskan nafas terakhir di Abraj Al Janadriyah jam 4 pagi (waktu Arab Saudi) akibat serangan jantung.
Iklan
Iklan
“Jemaah kedua ialah Allahyarhamah Hasmi Mohd Bojeng, 78, dari Sibu, Sarawak. Beliau meninggal dunia jam 5.21 pagi (waktu Arab Saudi) di Rehab Al-Janadriyah juga akibat serangan jantung (cardiac arrest).
“Kedua-dua kematian disahkan oleh petugas kesihatan Tabung Haji (TH), iaitu Dr Syafiq Haziq Mahadi dan Dr Wan Mohd Hafizullah Wan Mansor,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada waris serta keluarga kedua-dua jemaah haji yang meninggal dunia.
“Doa kita agar kedua-dua Allahyarham dan Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan roh orang-orang yang beriman dan dikurniakan ganjaran haji mabrur oleh ALLAH SWT.
“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas haji yang terus komited dalam menjaga kebajikan jemaah dan menyampaikan rasa simpati yang tidak terhingga kepada semua waris baik yang berada di Tanah Suci mahupun di tanah air,” katanya.