IPOH – Rumah Ngaji Perak akan menganjurkan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sebagai tanda solidariti serta simpati terhadap mangsa beberapa insiden menyayat hati yang berlaku di Perak termasuk nahas bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
Pengerusi Rumah Ngaji Perak, Robaatun Hadayiah Harun berkata, majlis itu akan diadakan pada Jumaat ini selepas Solat Asar bermula jam 5 petang di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak).
Menurutnya, majlis tersebut khusus diadakan bagi mendoakan mangsa tragedi kemalangan membabitkan lima insiden besar yang berlaku di negeri ini.
"Insiden yang dimaksudkan ialah kemalangan helikopter yang mengorbankan 10 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kemalangan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengorbankan lapan anggota, lima sekeluarga dari Bota maut kemalangan di Jerantut dan terbaharu 15 pelajar UPSI yang maut dalam satu kejadian memilukan.
“Kita menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap para mangsa serta keluarga mereka dengan menghadiahkan bacaan Yasin, Tahlil dan doa selamat sebagai tanda kasih sayang dan sokongan kita bersama,” katanya kepada Sinar Harian.
Robaatun Hadayiah turut menyeru agar semua Penggerak Rumah Ngaji di seluruh Perak mengadakan majlis serupa di kawasan masing-masing, pada tarikh dan waktu yang sama.
Katanya, usaha itu diharap dapat menyatukan ummah dalam menghadapi ujian serta mendoakan agar negeri Perak dan seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.
“Semoga tiada lagi tragedi yang mengguris hati kita bersama. Kita juga mendoakan agar ahli keluarga mangsa terus tabah dan sabar dalam menghadapi ujian ini.
"Kita doakan juga agar roh mangsa-mangsa yang terlibat dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," katanya.
Sementara itu, Robaatun Hadayiah turut menjemput ahli Rumah Ngaji dan orang ramai yang berhampiran Masjid Negeri Perak untuk bersama-sama hadir memberikan sokongan.