Letupan kuat stor gas terbakar kejutkan penduduk

Iklan
Tangkap layar tular kejadian kebakaran stor gas LPG di Kawasan Perindustrian Timur Kulai pada awal pagi Khamis.

KULAI – Tiga lelaki cedera selepas sebuah stor penyimpanan gas LPG terbakar dalam kejadian di Jalan Timur 4, Kawasan Perindustrian Timur, di sini, awal pagi Khamis.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.40 pagi itu turut tular di media sosial apabila api marak dan bunyi letupan kuat dari lokasi kejadian dapat dilihat dan didengar sehingga ke kawasan perumahan berhampiran.

Iklan
Iklan

Menurut Komander Operasi, Penolong Bomba Kanan I Asmiza Zaini, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai serta BBP Bandar Baru Kulai dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan struktur kekal berkeluasan kira-kira 25 kaki x 80 kaki yang dijadikan stor penyimpanan gas LPG.

Iklan

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dan 200 kaki, dengan bantuan jentera FRT dan pam angkut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, tiga lelaki yang mengalami kecederaan melecur sekitar 50 peratus telah dihantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS untuk rawatan lanjut.

Iklan

Operasi berjaya dikawal pada jam 2.31 pagi dan tamat sepenuhnya sejam kemudian.

Turut dilakukan ialah kerja-kerja penyejukan ke atas sebuah lori tangki LPG yang berada berhampiran lokasi kebakaran.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, menerusi komen di media sosial, penduduk di kawasan Taman Perindustrian Timur 6 mendakwa turut merasai gegaran akibat letupan dari kebakaran stor LPG tersebut.