TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Hasrat dua sahabat keluar minum bersama bertukar tragedi apabila kedua-duanya maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta berisi dadah ketika berhenti di lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, penunggang, Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, dan pemboncengnya, Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan itu datang dari arah Mentakab menghala ke arah bulatan Bukit Angin.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal tersebut telah berhenti kerana lampu isyarat merah, manakala kereta itu tidak berhenti di lampu isyarat dan melanggar bahagian belakang motosikal terbabit.
“Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta yang merupakan lelaki berusia 38 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Ujarnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk proses bedah siasat, manakala pemandu kereta tersebut telah direman pada Khamis.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Dalam pada itu, hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui beberapa peket plastik lut sinar disyaki berisi dadah jenis syabu dan heroin di bahagian tempat duduk belakang sebelah kiri.
“Satu peket plastik lut sinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah berbahaya jenis syabu seberat anggaran 50.85 gram.
“Turut ditemui dua peket plastik lut sinar mengandungi serbuk dan ketulan berwarna keperangan disyaki dadah jenis heroin seberat 0.85 gram,” katanya.
Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing ke atas pemandu mendapati keputusan negatif.
Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM6,110, dan turut disita wang tunai sebanyak RM500.
“Pemandu itu juga disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 susulan penemuan dadah dalam kenderaan,” katanya sambil memaklumkan bahawa suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.