SUBANG JAYA - Tindakan nekad beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) terjun ke dalam parit gagal apabila ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor sekitar Puchong pada Rabu.
Malah, segelintir daripada mereka turut menyamar sebagai pelanggan di restoran yang diserbu untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamarudin berkata, seramai 21 PATI ditahan dalam operasi membabitkan empat premis berasingan di sekitar Taman Perindustrian Puchong Utama, Kampung Sri Aman Tengah dan Kampung Sri Langkas.
"Dalam serbuan pertama di Kampung Sri Langkas, seramai lima wanita warga Indonesia ditahan sebelum serbuan kedua kemudiannya berjaya menahan lapan lelaki warga Pakistan di sebuah kedai makan.
"Serbuan ketiga di sebuah restoran di Jalan Jurutera, Kampung Sri Aman Tengah berjaya menahan enam lelaki warga Pakistan," katanya pada Khamis.
Katanya, serbuan terakhir dijalankan di sebuah bengkel kereta di Taman Perindustrian Puchong Utama berjaya menahan dua lelaki warga Myanmar.
"Tindakan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Kesemua individu ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut," katanya.