DOMPU – Sebuah rakaman tular memaparkan tindakan seorang wanita hamil didakwa 'menikahi' kekasihnya yang sudah meninggal dunia.
'Perkahwinan' yang menjadi tular itu dikatakan berlangsung di Desa Marada, Kecamatan Hu'u, Kabupaten Dompu di Nusa Tenggara Barat (NTB) di Indonesia.
Iklan
Iklan
Klip itu memaparkan pengantin perempuan mengenakan baju hitam dan bertudung melakukan 'proses pernikahan' di hadapan jasad teman lelakinya.
Menurut beberapa sumber, bakal suami wanita itu maut dalam kemalangan pada minggu lalu.
"Sebelum jenazah itu dikebumikan, pihak keluarga sepakat untuk mengahwinkan 'kedua-duanya' bagi memastikan anak yang bakal dilahirkan memiliki status sah di samping memenuhi hasrat terakhir si mati yang mahu berkahwin dengan kekasihnya, namun tidak kesampaian," lapor Tribunnews pada Rabu.
Kementerian Agama (Kemenag) Kabupaten Dompu menyatakan ia bukanlah perkahwinan yang sah kerana tiada proses akad nikah dan hanya melibatkan 'lafaz janji' bapa si lelaki mahu bertanggungjawab terhadap cucu yang bakal lahir.
Ia sekali lagi menegaskan tidak berlaku pernikahan antara mayat lelaki dan wanita yang masih hidup setelah warganet mempersoalkan majlis itu yang dianggap menyesatkan. – Agensi