'Ayah masih terkejut, tapi kami maafkan pemandu bas' - Keluarga Nor Ayuni

Iklan
Ahmad Azizol (kiri) menenangkan ayahnya, Maslan yang masih terkejut serta hilang kata-kata apabila mengenangkan pemergian adik bongsu, Nor Ayuni dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik di Perak.

JERTEH –"Kami reda dan maafkan pemandu bas."

Demikian kata Ahmad Azizol Maslan, 26, abang kepada Allahyarhamah Nor Ayuni, 21, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.

Iklan
Iklan

Beliau mewakili ayahnya, Maslan Abd Rahman, 58, yang masih terkejut dengan kejadian menimpa anak bongsu daripada lapan beradik itu selain ‘hilang kata-kata’ ketika ditemui di rumah mereka di Felda Tenang di sini pada Rabu.

“Walaupun apa yang berlaku ini sangat mengejutkan dan sehingga ke hari ini kami sekeluarga, terutama ayah, tidak dapat melelapkan mata.

Iklan

“Bagaimanapun, kami reda dan memaafkan apa yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Ahmad Azizol, mereka sekeluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut berhubung kejadian tersebut.

Iklan

Ujarnya, sehingga hari ini rumah mereka tidak putus dikunjungi saudara mara serta kenalan selepas kejadian tragik itu.

Sebelum itu, Sinar Harian pada Selasa melaporkan bahawa pemandu bas, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, memohon maaf kepada semua pelajar dan keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Menurut beliau yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Taiping, Perak, bas yang dipandunya dipercayai mengalami masalah brek yang tidak berfungsi.

Mohd Amirul Fadhil yang berpengalaman memandu bas sejak 2016 merupakan pemandu yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan 15 pelajar UPSI di Jalan Jeli–Gerik, Perak pada Isnin.