“ADA pihak yang tidak percaya, tidak mengapa... kita sedang lakukan sesuatu yang baharu.”
Demikian titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail ketika memberikan amanat bersemangat kepada pemain Harimau Malaya sebelum perlawanan menentang Vietnam pada Selasa.
Kata-kata semangat baginda itu dikongsikan menerusi satu rakaman di bilik persalinan sebelum perlawanan yang menyaksikan Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Keputusan itu juga memadam rekod tanpa kemenangan skuad negara selama 11 tahun ke atas pasukan yang berada pada ranking ke-109 dunia itu.
“Kita cuba membawa bola sepak tanah air ke tahap yang lebih tinggi dan ini adalah revolusi. Apa sahaja yang kita bina dan rancang tiada maknanya jika tiada keputusan atau pencapaian.
“Ada beberapa pihak yang tak percaya (revolusi Harimau Malaya), tidak mengapa... kita sedang lakukan sesuatu yang baharu, mereka tidak biasa dengannya. Biarkan prestasi kita berbicara lebih lantang daripada apa yang mereka fikirkan,” titah baginda.
Baginda turut menyifatkan semangat juang pemain sebagai harapan kepada seluruh peminat bola sepak tanah air.
“Prestasi ini adalah harapan kita. Inilah masanya untuk kita tunjukkan siapa diri kita yang sebenar. Kawan-kawan, jika kita berjaya mengubah landskap bola sepak di negara ini, semuanya adalah kerana kamu.
“Tiada orang lain. Kamulah pejuang sebenar. Kamu buat mereka rasa seperti mereka sebahagian daripada sesuatu. Kamu beri mereka kepercayaan. Itulah yang kita mahukan.
“Dan salah satu cara untuk mereka percaya adalah apabila kita tunjukkan jati diri kita. Tunjukkan semangat juang yang sebenar,” titah baginda.