PENJAGA gol berpengalaman, Khatul Anuar Md Jalil menyifatkan kebenaran terbaharu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang memberikan lampu hijau kepada pasukan Liga Super 2025/26 mendaftarkan sehingga 15 pemain import sebagai satu cabaran besar buat pemain tempatan.
Jelasnya, perkembangan tersebut sekali gus menuntut pemain-pemain tempatan menggandakan usaha dalam merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Menurut bekas penjaga gol Kuala Lumpur City dan Kelantan Darul Naim FC itu, senario baharu tersebut merupakan realiti ekosistem bola sepak moden yang memerlukan pemain sentiasa bersedia, gigih dan konsisten dalam setiap aspek.
“Pemain tempatan kena kerja lebih keras untuk dapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
“Tiada istilah lain selain kerja kuat setiap masa untuk pemain berada dalam pasukan, kerana cabaran ekosistem bola sepak moden lebih sengit.
“Satu standard tinggi untuk pemain tempatan bagi membuktikan tidak hanya kemampuan berdaya saing, tetapi juga mengekalkan tahap konsistensi dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Khatul Anuar juga melihat perkembangan itu sebagai peluang buat pasukan yang berhasrat bersaing di pentas Asia untuk memperkukuh barisan pemain masing-masing sejajar dengan keperluan pertandingan yang lebih kompetitif di peringkat serantau.
Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan harapan agar musim baharu yang dijadual bermula Ogos ini dapat menyaksikan peningkatan bukan sahaja dari aspek permainan, malah meliputi kebajikan para pemain.
“Saya dan rakan berharap semoga musim 2025/26 lebih baik berbanding musim sebelumnya.
“Sejujurnya, pengalaman musim lalu yang getir bersama rakan-rakan banyak mematangkan kami selepas ini.
“Saya sentiasa yakin dan percaya dengan rezeki ALLAH SWT. Dan saya akan berikan yang terbaik bersama pasukan baharu musim 2025/26,” jelasnya yang kembali menyarung jersi Harimau Kumbang.