Wai Ching, Nor Farah Ain dinobat Olahragawan, Olahragawati Selangor 2024

Iklan
Wai Ching (kanan) dan Nor Farah Ain (kiri) dinobat Olahragawati dan Olahragawan Selangor 2024.

PELARI menara, Soh Wai Ching, dan pemain boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah, dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Selangor 2024, sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000, piala iringan serta sijil.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor (ASNS) 2024 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, di sini pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurut Nor Farah Ain, beliau tidak menyangka akan menerima anugerah berprestij itu memandangkan ramai atlet hebat lain turut menyumbang bakti kepada arena sukan negeri Selangor.

"Saya tak jangka boleh menang anugerah ini kerana kalau ikutkan, ramai lagi calon atau pemain terbaik peringkat negeri dan nasional,” katanya.

Iklan

Mengulas mengenai kecederaan yang dialami pada bahu kanan, Nor Farah Ain memaklumkan ia menunjukkan perkembangan positif sejak tiga minggu lalu.

"Saya kini masih dalam proses rehabilitasi untuk menguatkan semula bahu kanan kerana saya menyasarkan untuk beraksi dalam Kejohanan Boling Dunia yang akan diadakan pada November. Saya akan mulakan latihan pada awal Julai ini.

Iklan

"Saya di Selangor ini sudah 10 tahun, iaitu sejak umur 13 tahun, dan banyak perkara saya sudah korbankan dari segi kewangan, masa, waktu belajar dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama, atlet ping pong, Teh Hong Yu, dan atlet akuatik, Khew Zi Xian, masing-masing menerima Anugerah Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan Selangor 2024 yang melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil.

Sementara itu, Soh Wai Ching turut meluahkan rasa terharu atas pengiktirafan yang diterima dan menyatakan misi utamanya adalah untuk terus menyumbang sesuatu yang lebih besar kepada negeri Selangor pada masa akan datang.

Beliau menyasarkan untuk memecahkan rekod Guinness World Records bagi cabaran pendakian mesin tangga simulasi dalam tempoh satu jam yang akan berlangsung pada Julai ini di Bandar Utama, Selangor.

"Saya mahu pecahkan rekod sedia ada iaitu 1.704 kilometer (km) oleh seorang warga Sepanyol dan saya menyasarkan untuk mencapai 1.710 km.

"Selain itu, pada 30 Ogos ini akan berlangsung satu kejohanan besar dunia di Merdeka 118, Kuala Lumpur dan saya menyasarkan untuk muncul juara, memandangkan Malaysia menjadi tuan rumah.

"Bagi saya, pengorbanan bukan sahaja dari segi latihan, tetapi juga melibatkan kekuatan mental atlet,” katanya.