PUTRAJAYA – Sistem bersepadu UP_TVET menerima sebanyak 140,000 permohonan kemasukan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) setakat ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan itu menunjukkan minat rakyat terhadap TVET meningkat sekali gus membuktikan bidang tersebut menjadi pilihan utama rakyat dalam membina masa depan yang lebih cerah.
Ujarnya, kerajaan memberi tumpuan khusus dalam memperkasa agenda TVET negara menerusi pelbagai inisiatif strategik yang bakal diumumkan pada sambutan Hari TVET Negara 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula Rabu.
"Sambutan yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, sambutan tahun ini membawa tema ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’ dan menyasarkan kehadiran lebih 150,000 pengunjung.
Lebih menarik, katanya, ia turut menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan menerusi padanan kerjaya bersama majikan dari pelbagai sektor strategik.
"Program Hari TVET Negara 2025 terbahagi kepada empat segmen utama
yang merangkumi pelbagai pengisian menarik dan menyeluruh.
"Kesemua aktiviti akan digabungkan mengikut kluster atau bidang utama TVET, di mana setiap kluster akan melibatkan penyertaan institusi TVET, industri serta teknousahawan," jelas beliau.
Tambahnya, sambutan Hari TVET Negara 2025 akan dilaksanakan secara lebih inklusif, interaktif dan strategik bagi menarik minat masyarakat mendekati bidang TVET.
"Usaha ini penting bagi menunjukkan kepada rakyat bagaimana TVET mampu menjadi pemangkin pembangunan negara dengan menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata, komitmen berterusan kerajaan dalam membina laluan kemahiran sebagai arus perdana pembangunan negara adalah selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang progresif, inklusif dan mampan.