KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat menghasilkan buku mengenai operasi khas dijalankan agensi tersebut untuk dijadikan panduan kepada anggota dan pegawai baharu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, buku yang mempunyai maklumat berkaitan operasi khas itu dilihat dapat membantu pegawai muda agar tidak melakukan kesilapan berulang.
"Seperti Jabatan Siasatan Jenayah, saya rasa banyak operasi perlu dibukukan kepada pegawai dan anggota baru sebagai panduan yang boleh digunakan dalam operasi.
"Ini kerana pengalaman dan maklumat yang ada pada pegawai polis lama terlalu banyak. Akan ada operasi yang sama mungkin ada kesalahan sama diulangi pegawai baru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 Persatuan Pegawai- Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) di Maktab PDRM di sini pada Selasa.
Ayob Khan berkata, usaha itu dijangka memakan masa kerana memerlukan maklumat dan pengalaman daripada pegawai lama.
"Kita akan dapatkan maklumat dan pandangan ahli-ahli RESPA yang pernah terlibat dalam operasi khas.
"Saya secara peribadi pun banyak pegawai senior yang sudah pencen ini turut mesej kadangkala berkenaan isu-isu sensitif dari segi perundangan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Ayob Khan dalam ucapannya menyeru ahli-ahli RESPA untuk mengemas kini maklumat peribadi dalam sistem e-Pesara PDRM khususnya membabitkan alamat terkini, status kesihatan dan waris yang boleh dihubungi.
"Ia bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan faedah dan ganjaran daripada kerajaan.
"Saya mendoakan RESPA akan terus berjaya dalam usaha murninya untuk menjaga kepentingan dan kebajikan ahli. Segala jasa bakti yang telah dicurahkan sentiasa dihargai,” katanya.