AMPANG - KDEB Waste Management (KDEBWM) telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan longgokan sampah haram di Jalan Permai 1A, Kampung Tasek Tambahan di sini pada 4 Jun lalu.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memaklumkan, kakitangan jabatan turut memasang kain rentang mengenai larangan pembuangan sampah di lokasi tersebut.
Menurutnya, tindakan itu dibuat susulan aduan daripada orang ramai yang telah diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MPAJ.
"Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan telah ke lokasi selepas menerima aduan ini dan kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan.
"Pemantauan akan dibuat secara berterusan bagi memastikan Ampang Jaya bebas sampah haram,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Dalam pada itu, MPAJ berkata, warga Ampang Jaya dinasihatkan agar membuang sampah di tong yang telah disediakan.
"Jika tidak, ia boleh menyebabkan longgokan sampah haram di sekitar kawasan rumah masing-masing. Marilah bersama-sama kita menjaga kebersihan kawasan MPAJ,” ujarnya.
Sementara itu, menurut MPAJ, orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan ke SISPAA di pautan rasmi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.