GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang telah mengadakan lawatan rasmi ke Austria dan Switzerland bagi meneliti aspek teknikal serta pelaksanaan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang sedang dibina di negeri ini.
Delegasi rasmi yang diketuai oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, akan berada di kedua-dua negara tersebut bermula Selasa sehingga 16 Jun ini.
Kon Yeow berkata, lawatan kerja itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam merealisasikan inisiatif mobiliti lestari serta meningkatkan infrastruktur pelancongan di kawasan tanah tinggi berkenaan.
Menurutnya, lawatan tersebut dihoskan oleh dua syarikat utama dalam industri kereta kabel, iaitu Doppelmayr dan Hartasuma.
"Sepanjang lawatan, delegasi akan melawat kemudahan dan ibu pejabat beberapa syarikat terkemuka dalam industri tersebut, antaranya Doppelmayr Seilbahnen GmbH di Wolfurt, Austria; Fatzer AG di Romanshorn; Garaventa AG di Goldau; serta CWA Constructions SA di Olten, Switzerland,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, lawatan teknikal itu bertujuan memahami dengan lebih mendalam aspek kejuruteraan, operasi serta piawaian keselamatan yang digunakan dalam pembinaan sistem kereta kabel bertaraf antarabangsa.
"Selain itu, delegasi juga akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Bettmeralp dan syarikat Aletsch Bahnen AG di Raron, Switzerland bagi meninjau amalan terbaik dalam sektor pelancongan pergunungan dan pengangkutan lestari.
"Bettmeralp merupakan sebuah perkampungan pelancongan bebas kenderaan yang hanya boleh diakses menggunakan kereta kabel dan dianggap sebagai model pembangunan pelancongan mampan yang berjaya di Eropah,” ujarnya.
Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang komited untuk memastikan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera dilaksanakan dengan penekanan tinggi terhadap aspek keselamatan, kualiti serta kebolehpercayaan perkhidmatan.
"Misi rasmi ini merupakan langkah penting dalam memastikan projek ini memenuhi piawaian antarabangsa dan dapat memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta industri pelancongan negeri,” katanya.
Sebelum ini, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) mengumumkan bahawa pusat peranginan Bukit Bendera bakal menikmati perkhidmatan kereta kabel yang dijangka siap pada suku ketiga tahun 2026.
Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang bernilai RM245 juta itu melibatkan laluan sepanjang 2.73 kilometer dengan tiga buah stesen iaitu Stesen Taman, Gelung Belokan dan Stesen Bukit.
Jajaran kereta kabel tersebut akan bermula dari Stesen Taman Ekonomi sedia ada di Taman Botani Pulau Pinang dan berakhir di puncak Bukit Bendera, di belakang Balai Polis Bukit Bendera.
Ia akan dilengkapi dengan 50 gondola lapan tempat duduk dengan tempoh perjalanan kurang daripada 10 minit.