SHAH ALAM - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenal pasti pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan yang dipercayai melepaskan beberapa individu positif dadah.
EAIC dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menerima aduan terhadap AADK Negeri Sembilan berhubung dakwaan itu.
Menurutnya, ia berkaitan tindakan melepaskan beberapa individu yang didapati positif dadah semasa operasi serbuan yang dijalankan di Kampung Felda LBJ, Labu, Negeri Sembilan pada 8 Mac 2023.
"Siasatan ini dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
"Hasil siasatan mendapati terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa beberapa individu yang didapati positif dadah semasa serbuan tersebut telah dilepaskan, yang mana perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 221 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, beberapa orang pegawai AADK terbabit didapati tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) AADK yang berkaitan semasa melaksanakan operasi tersebut.
Tegasnya, sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk dapatan perlakuan jenayah kepada pendakwa raya menurut subperenggan 30(1)(c) Akta 700.
"EAIC juga merujuk dapatan berkaitan kesalahan tatatertib oleh pegawai-pegawai AADK terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib dengan syor hukuman tatatertib menurut subperenggan 30(1)(b) Akta 700," ujarnya.