Nahas pelajar UPSI: Jenazah Muhammad Adib Hazim selamat dikebumikan

Iklan
Ahli keluarga Allahyarham Muhammad Adib Hazim tidak mampu mebahan sebak ketika urusan pengebumian. Gambar kecil: Allahyarham Muhammad Adib

BESUT – Jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi tadi, selamat dikebumikan kira-kira jam 12.30 tengah malam ini.

Allahyarham Muhammad Adib Hazim Halim, 21, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Badak, Hulu Besut.

Iklan
Iklan

Suasana pilu menyelubungi pekarangan tanah perkuburan apabila lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan-rakan serta penduduk kampung hadir mengiringi perjalanan terakhir arwah.

Terdahulu, jenazah tiba di Surau Pasir Badak kira-kira jam 11.20 malam selepas melalui proses bedah siasat di Hospital Gerik, dan dibawa pulang dengan van jenazah.

Iklan

Difahamkan, Allahyarham merupakan anak keenam daripada tujuh beradik dan merupakan pelajar jurusan Bahasa Melayu di UPSI.

Ruslinan (kiri) tidak dapat menahan rasa sebak ketika urusan pengebumian Allahyarham Muhammad Adib Hazim.

Ibunya, Ruslinan Abd Razak, 55, bersama ahli keluarga lain dilihat tidak mampu menahan sebak sepanjang urusan pengebumian.

Iklan

Terdahulu, seramai 15 pelajar UPSI yang kesemuanya dari Terengganu disahkan maut manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terbabas.

Bas berkenaan dalam perjalanan dari Jertih, Besut menuju ke Tajung Malim, Perak.