Bapa belanja RM3.3 juta iklankan wajah anak

Iklan
Wajah Yu-kun (kanan) yang tersenyum dalam papan tanda yang diletakkan di beberapa kawasan di Tokyo. - Agensi

TOKYO - Seorang bapa di Jepun mencuri perhatian ramai apabila membelanjakan 100 juta yen (RM3.3 juta) semata-mata untuk memaparkan wajah anak lelakinya di pelbagai lokasi sekitar bandar Tokyo.

Lelaki tersebut yang menjalankan perniagaan hartanah di Adachi, Tokyo, menjadikan anaknya yang dikenali sebagai Yu-kun sebagai ‘duta tidak rasmi’ kepada projek-projek syarikat miliknya.

Iklan
Iklan

Wajah Yu-kun yang tersenyum dan kadangkala dengan ekspresi lucu kini boleh dilihat pada papan tanda di jejantas, bas awam, papan parkir dan juga tingkap kedai serbaneka.

Penduduk setempat yang sudah terbiasa melihat iklan itu sejak bertahun lalu mula memanggil remaja itu sebagai"The Landmark Kid”.

Iklan

Menurut bapanya, dia mula menjalankan kempen itu kerana mendapati wajah anaknya terlalu comel ketika kecil dan mahu"seluruh Tokyo mengenalinya”.

Kempen iklan tersebut menampilkan lebih 10 variasi foto Yu-kun ketika kecil, termasuk gambar lucu ketika menangis selepas terkejut dengan persembahan jalanan.

Iklan

Salah satu gambar paling terkenal dipasang setinggi dua meter di pintu masuk sebuah stesen bawah tanah.

Biarpun menjadi wajah popular di jalanan, Yu-kun yang kini berusia 16 tahun mengakui tidak selesa dengan perhatian ramai dan menganggap tindakan bapanya memalukan.

"Saya tidak suka. Kalau ayah rasa saya comel sangat, kenapa tak masukkan saja 100 juta yen tu ke akaun bank saya?” katanya berseloroh.

Kisah itu dilaporkan oleh rancangan TV Jepun, Monday Late Show, dan turut tular di platform sosial China, dengan netizen menyifatkan kasih sayang ayah itu sangat bermakna dalam keluarga mereka. - Agensi