Nahas pelajar UPSI: Tular rakaman 'dashcam' bas dipandu laju

Iklan
Tangkap layar video rakaman 'dashcam' yang tular di Facebook pada Isnin. Kredit Facebook/ Hanz Hanz.

SHAH ALAM - Tular satu video rakaman kamera papan pemuka memaparkan sebuah bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipercayai dipandu dalam keadaan laju dan membahayakan.

Berdasarkan rakaman pendek berdurasi 40 saat dimuat naik pengguna Facebook, Hanz Hanz, bas berwarna hijau tersebut dilihat memotong kenderaan ketika di selekoh sebelum ia hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan raya.

Iklan
Iklan

Menerusi video sama, bas tersebut turut berlanggar dengan kereta Perodua Alza yang berada di hadapannya.

Majoriti pengguna media sosial melampiaskan amarah kepada pemandu bas berkenaan kerana bertindak memotong laluan dengan laju, ditambah pula dalam keadaan jalan yang gelap gelita.

Iklan

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan pihak polis untuk pengesahan mengenai video tular tersebut.

Terdahulu, negara dikejutkan dengan tragedi kemalangan membabitkan bas yang membawa pelajar UPSI terbabas dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi Isnin.

Iklan

Dalam kejadian itu, seramai 15 pelajar disahkan maut manakala selebihnya cedera dan sedang dirawat di Hospital Gerik.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan dari Jerteh, Besut, Terengganu menuju ke Tanjung Malim, Perak.