MPD bersifat anonim, tidak langgar data peribadi - SKMM

Iklan
Zurkarnain (tiga dari kiri) ketika taklimat media mengenai MPD di Bangunan SKMM di Cyberjaya pada Isnin.

CYBERJAYA - Perkongsian data telefon bimbit (MPD) tanpa identiti pengguna dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak diklasifikasikan sebagai data peribadi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).

Timbalan Pengarah Urusan SKMM, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin menjelaskan, data yang diperoleh daripada syarikat telekomunikasi telah dinyahidentiti atau bersifat anonim, sekali gus tidak mendedahkan maklumat peribadi pengguna.

Iklan
Iklan

"Kita tidak berhasrat mengetahui keberadaan seseorang individu, ke mana dia pergi atau di mana dia menginap. Itu bukan tujuan MPD.

"Tujuan pengumpulan MPD adalah untuk data statistik; ia merupakan bentuk baharu dalam mendapatkan maklumat statistik.

Iklan

"Jika dahulu melalui soal selidik, tetapi sekarang ditransformasikan dalam bentuk digital dan analitik data raya (big data analytics). Ini adalah satu transformasi besar dalam kaedah pengumpulan data yang harus disokong,” katanya ketika ditemui selepas taklimat mengenai MPD di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa rakyat Malaysia tidak mempunyai pilihan untuk menarik diri daripada membenarkan data telefon mudah alih mereka dikongsi dengan suruhanjaya tersebut.

Iklan

Ini kerana, menurutnya, perkara itu merupakan kelulusan Jemaah Menteri bagi membolehkan MPD digunakan sebagai sumber data baharu dalam penghasilan statistik kebangsaan.

"Penggunaan MPD bukanlah sesuatu yang baharu kerana banyak negara telah mengamalkan kaedah serupa,” jelasnya.

Sementara itu, Zurkarnain memaklumkan bahawa semua syarikat telekomunikasi diberi dua pilihan, sama ada memproses data MPD dalam sistem dalaman dan hanya menyerahkan output yang telah dianonimkan, atau menyerahkan data yang telah dinyahidentiti kepada SKMM untuk diproses.

Menerusi kedua-dua kaedah berkenaan, beliau menegaskan bahawa tiada data individu yang boleh dikenal pasti dikongsi atau digunakan.