MELAKA - Seorang warga emas berusia 70 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun.
Tertuduh, Jaafar Taib yang menghidap penyakit kencing manis membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Tay Boon Seng, Klebang di sini pada jam 2 petang awal Februari 2023.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh selain memohon beberapa syarat tambahan.
Sementara itu, Peguam Kent Tan Chow Teng yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan rendah dengan alasan warga emas yang juga pesara itu menghidapi penyakit kronik itu selain penyakit jantung.
Malah hujahnya, bapa kepada lima orang anak itu juga tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan syarat tidak mengganggu mangsa, melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 16 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.