Tabung Haji terima anugerah tertinggi pengurusan haji daripada Arab Saudi

Iklan
Mohd Na'im (dua dari kiri) ketika menerima Anugerah Labbaittom 'Diamond Award' dalam Program Majlis Penutupan Musim Haji 1446H/2025M.

MAKKAH – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi buat julung kalinya memberi pengiktirafan tertinggi kepada Malaysia melalui Tabung Haji (TH) sebagai penerima Anugerah Labbaittom bagi kategori Diamond.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, TH telah dianugerahkan Anugerah Labbaittom untuk tahun keempat berturut-turut.

Iklan
Iklan

Namun menurutnya, tahun ini TH menerima anugerah tertinggi bagi pengurusan haji yang terbaik.

"Bersempena tamatnya operasi haji bagi tahun ini, kerajaan Arab Saudi memberikan anugerah dan penghargaan kepada individu serta negara yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada jemaah haji.

Iklan

"Alhamdulillah pada malam ini (Ahad) sekali lagi, Tabung Haji telah dianugerahkan Anugerah Labbaittom untuk tahun keempat berturut-turut.

"Lebih menarik lagi, kita telah menerima penghargaan tertinggi ataupun apa yang disebut sebagai ‘Diamond Award’,” katanya selepas menerima anugerah berkenaan daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dalam Program Majlis Penutupan Musim Haji 1446H/2025M di sini.

Iklan

Dari kiri: Mohd Hisham, Mohd Na'im, Abdul Rashid dan Mustakim bergambar bersama Anugerah Labbaittom 'Diamond Award' yang diterima TH dalam Program Majlis Penutupan Musim Haji 1446H/2025M.

Beliau berkata, proses penilaian ketat dilakukan bagi anugerah tersebut oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

"Mereka melihat dari semua aspek termasuk pengurusan, kebajikan dan keselamatan jemaah haji.

"Saya dimaklumkan peratusan dinilai oleh Tabung Haji tidak jauh dengan yang dinilai oleh pasukan Labbaittom daripada Kementerian Haji dan Umrah iaitu lebih daripada 95 ke 96 peratus,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Na’im berkata, pihak pengurusan TH berjanji memberikan komitmen untuk memberi dan meneruskan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji pada tahun akan datang menerusi kerjasama dengan syarikat Al Mashariq Al Masiah.

"Usaha tambah baik itu memang berterusan. Dengan adanya anugerah yang diterima pada malam ini (Ahad) ia memberi semangat yang lebih kepada pengurusan Tabung Haji.

"Insya-ALLAH pasukan Tabung Haji tidak akan menunggu lama, kita akan buat ‘post-mortem’ untuk mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang ada dan akan bekerjasama dengan pihak Al Masiah untuk tambah baik perkhidmatan pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan penambahbaikan tertumpu kepada kebajikan dan juga keselamatan jemaah haji Malaysia.

Tambahnya, untuk tahun hadapan, perbincangan lanjut mengenai keadaan di Mina turut akan dibuat bersama pihak pengurusan dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

"Insya-ALLAH pada tahun ini juga, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain akan mengadakan perbincangan untuk mengenal pasti beberapa bangunan yang boleh kita adakan perjanjian kerana ada dua bangunan akan tamat tempohnya pada tahun ini.

"Pengurusan Tabung Haji akan mengadakan perbincangan secara langsung dengan pemilik-pemilik bangunan untuk memastikan bangunan yang dipilih dapat memberikan keselesaan sama ada dari segi keadaan hotel dan jarak dengan Masjidil Haram,” katanya.

Beliau sebelum itu mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengerusi TH, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad; Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun dan semua warga kerja TH khususnya petugas haji yang bekerja keras memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada jemaah haji Malaysia.

"Saya ambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Sahabat Maktab dan rakan-rakan media yang membuat liputan kerana berita yang dibuat sepanjang operasi haji turut membantu dalam usaha untuk menilai usaha-usaha yang dibuat oleh Tabung Haji,” katanya.