Telco tidak serah data peribadi, hanya statistik untuk tujuan rasmi - Menteri

Iklan
Fahmi ketika bercakap kepada pemberita.
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Syarikat telekomunikasi (telco) tidak akan memberikan sebarang maklumat yang memiliki data peribadi individu kepada mana-mana pihak, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Sebaliknya beliau berkata, perkara tersebut lebih menunjuk kepada tren supaya maklumat yang lebih terperinci dapat dikumpulkan mengenai mutu, tahap perkhidmatan dan jumlah pengguna yang ada di satu-satu mukim atau daerah.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ambil maklum. Arahan kepada syarikat telekomunikasi untuk menyerahkan data panggilan telefon merupakan keputusan Kabinet.

"Ia bertujuan untuk pengumpulan data bagi tujuan pengetahuan statistik rasmi. Sekarang ini banyak daripada maklumat tentang sektor telekomunikasi masih bersifat terlalu umum,” katanya ketika sidang media Majlis Korban Perdana Perpaduan UMNO Lembah Pantai 2025di sini pada Ahad.

Sebelum ini, SKMM mempertahankan arahannya yang mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit dibuat dari Januari hingga Mac.

Suruhanjaya itu berkata tiada maklumat peribadi yang akan diakses, diproses atau didedahkan oleh SKMM.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas South China Morning Post, memetik sumber industri, melaporkan Putrajaya mengarahkan syarikat telekomunikasi menyerahkan rekod terperinci panggilan telefon dan penggunaan internet sebagai sebahagian daripada peluasan kawalan aktiviti dalam talian.

Tambah Fahmi, pihaknya juga telah mula untuk mengubah daripada memberi maklumat mengenai Coverage of Public Areas (COPA) yang merupakan satu angka komposit tapi lebih kepada berdasarkan angka yang boleh diberikan oleh setiap telco.

"Jadi kita nak pastikan dengan data yang dapat dikumpulkan nanti lebih banyak rancangan dasar dapat dibuat berasaskan bukti dan membawa satu kebaikan kepada rakyat.

"Saya juga difahamkan telco akan mengeluarkan kenyataan media tapi ini kita serah kepada merekalah,” katanya.

Ujar beliau, data tidak akan diserahkan dalam bentuk yang mengandungi personally identifiable information (PII).

Menurutnya, ia adalah satu keputusan yang telah dibuat bersama oleh telco dan MCMC, serta melibatkan agensi-agensi seperti Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam siri bengkel yang telah diadakan sejak tahun 2023 lagi.