Video tular: Pemandu peribadi positif dadah langgar kereta ditahan

Iklan
Tangkap layar video tular menunjukkan sebuah kereta Honda City memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta lain di Jalan Jaya, Kluang.

KLUANG – Aksi sebuah kereta jenis Honda City yang dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga di Jalan Jaya, di sini, pada Jumaat, tular di media sosial.

Susulan kejadian kira-kira jam 5 petang itu, seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah sehingga terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

"Pemandu Honda City tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu Proton Saga, seorang lelaki berusia 36 tahun, mengalami luka di tangan dan sakit-sakit badan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurut beliau, suspek yang bekerja sebagai pemandu peribadi ditahan kira-kira jam 6.30 petang pada hari sama.

"Suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk menjalani ujian saringan air kencing.

Iklan

"Hasil ujian mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Semakan lanjut turut mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau, termasuk tiga kes berkaitan dadah,” katanya.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.