Lelaki meninggal dunia selepas sembelih lembu ketiga

Iklan
Penduduk membantu urusan membawa mangsa ke hospital. Allahyarham Radzuan (kanan).

MANJUNG - Seorang lelaki meninggal dunia selepas menyertai gotong-royong penyembelihan lembu sempena sambutan Aidiladha di Kampung Sungai Rumput, Kampung Sitiawan di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, mangsa dikenali Radzuan Nanyan, 50, dikatakan rebah di kawasan padang kampung berkenaan yang menjadi lokasi ibadah korban.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, lelaki itu dilaporkan pengsan sejurus selepas selesai kerja penyembelihan lembu ketiga.

"Beliau rebah di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Seri Manjung.

Iklan

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di unit kecemasan hospital berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematian adalah disebabkan serangan jantung.

Iklan

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah dikenal pasti setakat ini," katanya.

Difahamkan, mangsa turut terlibat secara aktif dalam gotong-royong ibadah korban yang melibatkan beberapa ekor lembu di kawasan kariah tersebut.

Dalam satu rakaman video yang tular, suasana sedih menyelubungi kawasan padang sebaik insiden itu berlaku.

Penduduk kampung dilihat memberikan kerjasama penuh bagi membantu urusan membawa mangsa ke hospital.