Ibadah korban kukuhkan muafakat warga Pangsapuri 19B

Iklan
Antara penduduk yang hadir pada majlis tersebut yang diadakan di Pangsapuri 19B, Seksyen 19, Shah Alam pada Sabtu.

SHAH ALAM- Kawasan lapang berhampiran Pangsapuri 19B, Seksyen 19 di sini kembali meriah sempena pelaksanaan Program Korban Komuniti Aidiladha 1446H susulan kejayaan menghimpunkan penduduk setempat dalam suasana penuh muafakat dan silaturahim.

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri 19B, Mohammed Zahir Khariri berkata, sebanyak lima lembu dikorbankan tahun ini termasuk seekor yang bersaiz besar dengan anggaran berat 600 kilogram (kg), menjadikan jumlah keseluruhan daging yang diperoleh mencecah 520kg.

Iklan
Iklan

Katanya, hasil lembu korban itu merupakan peningkatan ketara berbanding permulaan program pada tahun 2022 yang hanya melibatkan dua ekor lembu.

"Sebahagian besar daging korban telah diagihkan kepada para peserta, penduduk setempat dan asnaf yang layak.

Iklan

"Lebih 170kg daging diperuntukkan kepada golongan memerlukan, sejajar dengan matlamat utama program iaitu menyantuni masyarakat sambil memperkukuh nilai keprihatinan sesama insan," katanya kepada Sinar Harian.

Ujarnya, program tersebut disertai kira-kira 50 peserta korban dan turut mendapat kerjasama penduduk daripada pelbagai latar belakang bagi bersama-sama menjayakan kerja-kerja penyembelihan, melapah, membungkus dan mengagihkan daging korban.

Iklan

Jelasnya, Ibadah korban tersebut menjadi lebih bermakna apabila dijadikan medium penyatuan komuniti.

"Aktiviti ini bukan sekadar ibadah tahunan, tetapi satu usaha berterusan untuk merapatkan hubungan kejiranan di kawasan Pangsapuri 19B.

"Kami percaya semangat korban bukan hanya terletak pada penyembelihan haiwan semata-mata tetapi juga pada pengorbanan masa, tenaga dan komitmen bersama demi manfaat masyarakat,” jelasnya.