Juruteknik didakwa ugut guna pisau

Iklan
Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat, atas satu pertuduhan mengugut seorang lelaki menggunakan pisau, minggu lalu.

AMPANG – Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat, atas satu pertuduhan mengugut seorang lelaki menggunakan pisau, minggu lalu.

Ahmad Nizar Ahmad Aminudin, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki berusia 48 tahun dengan mengacukan pisau, di sebuah kedai makan di hadapan flat Taman Dato Ahmad Razali, di sini, pada jam 11 malam, 28 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Vinobha Doss dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu agar kadar itu dikurangkan kerana Ahmad Nizar perlu menanggung keluarga.

Iklan

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Nurulizwan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Julai depan untuk sebutan kes serta lantikan peguam.