Remaja hilang ketika cari lembu ditemui lemah

Iklan
Tangkap layar memaparkan Muhamad Aidil Asyraf (dua,kiri) ditemui dalam keadaan lemah dan terpaksa dipapah anggota bomba.

MELAKA - Remaja lelaki, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, yang dilaporkan hilang ketika mencari lembu sejak Rabu lalu, ditemukan dalam keadaan lemah di Kampung Permatang Pasir di sini, awal pagi Jumaat.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu yang memakai baju-T berwarna hijau itu ditemui oleh penduduk bersama pasukan bomba kira-kira jam 1.57 pagi.

Iklan
Iklan

Berdasarkan siaran langsung di aplikasi TikTok, anak kedua daripada enam beradik itu dilihat terpaksa dipapah oleh dua anggota bomba, manakala kedengaran penduduk kampung melaungkan azan ketika kejadian.

Difahamkan, remaja terbabit dikesan selepas mereka terdengar suara mangsa mengerang dalam keadaan terbaring di kawasan semak di belakang rumah penduduk sebelum berjaya diselamatkan.

Iklan
Tangkap layar menunjukkan Muhamad Aidil Asyraf (tengah) menangis ketika menemui ibu bapanya.

Mangsa kemudian dibawa ke rumah penduduk berdekatan untuk berehat sebelum dilihat berpelukan dengan ibu bapanya dalam keadaan menangis.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan ia dijangka diperoleh pagi ini.

Iklan

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa gara-gara mencari lembu yang hilang, seorang remaja lelaki dilaporkan sesat di kawasan Kampung Permatang Pasir.

Muhamad Aidil Asyraf, 15, dipercayai keluar pada jam 6.30 petang untuk mencari lembu sebelum disedari tidak pulang ke rumah pada jam 7 malam.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan panggilan kecemasan dan laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa, Siti Norehan Azhar, 38, pada hari sama remaja itu disedari hilang.

Misi pencarian yang memasuki hari ketiga itu turut disertai penduduk kampung.