KOTA BHARU - Dua beradik yang dalam perjalanan membeli persiapan Hari Raya Aidiladha disaman selepas cukai jalan motosikal yang digunakan mereka didapati tamat tempoh sejak tahun 2023.
Kedua-duanya yang dikenali sebagai Wani, 18, dan kakaknya, Ira, 22, ketika itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Cempaka ke Wakaf Che Yeh untuk membeli tudung.
Ira mendakwa tidak mengetahui bahawa cukai jalan motosikal SYM milik adik lelakinya yang sudah lama tidak digunakan telah tamat tempoh.
"Kami berdua bekerja di Kuala Lumpur dan baharu sahaja tiba di Kota Bharu untuk meraikan hari raya bersama keluarga di Kelantan.
"Kami keluar malam ini untuk membeli tudung sebagai persiapan hari raya,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi sempena Ops Hari Raya Aidiladha pada Khamis.
Operasi yang bermula pada jam 9 malam itu diketuai oleh Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Kifli Ma Hassan.
Jelasnya lagi, adik lelakinya itu juga bekerja di Kuala Lumpur dan tidak memaklumkan mengenai status cukai jalan serta dokumen motosikal berkenaan.
Akibat kesalahan itu, Ira dan adik lelakinya perlu hadir ke mahkamah untuk prosedur seterusnya selain membuat pembayaran.
Motosikal mereka disita sehingga cukai jalan diperbaharui dan beberapa prosedur di mahkamah diselesaikan.