MELAKA – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki orang kurang upaya (OKU), Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari lembu, diteruskan dan diperluaskan ke kawasan sungai serta kolam berhampiran Kampung Permatang Pasir, di sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pencarian diteruskan dengan menggunakan bantuan seekor anjing pengesan dari Unit K9.
"Selagi belum ada keperluan untuk menghentikan pencarian, kami akan teruskan misi ini dengan kerjasama semua agensi terlibat. Kawasan pencarian juga akan diperluaskan jika perlu.
"Masih terlalu awal untuk mengaitkan kehilangan mangsa dengan unsur jenayah. Berdasarkan maklumat, telefon bimbit mangsa yang aktif pada awal pagi dipercayai telah dimatikan, kemungkinan kerana kehabisan bateri,” katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi pos kawalan kejadian pada Khamis.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Noor Helmy Abdul Halem.
Dalam tinjauan di lokasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menggunakan jentera penyedut air bagi mengeringkan dua kolam terbiar yang berselut untuk memudahkan pencarian, namun masih belum menemui sebarang petunjuk.
Dua ekor anjing pengesan dari Unit K9 JBPM juga digerakkan, namun setakat jam 6 petang, usaha mengesan mangsa masih belum berhasil.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa mangsa dilaporkan hilang ketika keluar mencari lembu di sekitar Kampung Permatang Pasir pada Rabu.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.54 malam, sebelum operasi SAR dilancarkan.