ALOR SETAR –"Salah seorang mangsa, Arif sempat bersalam dengan saya dan berkata ‘aku pergi dulu’. Saya hanya sempat membalas, bawa motosikal elok-elok selepas kelas tamat jam 12.30 tengah hari. Tidak lama kemudian, saya dapat berita mereka sudah tiada.”
Demikian luahan Nik Muhammad Danis Darwish Abdul Qayyum, 19, rakan sekelas kepada tiga pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra yang maut dalam kemalangan di Kilometer 49.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dari Alor Setar, petang Khamis.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Muhamad Habil Mohd Sobri dari Gurun; Muhammad Fahmi Jamil dari Jeniang, Sik; dan Muhamad Arif Aifan Derani dari Bukit Selambau, Sungai Petani.
Menurut Danis, mereka bertiga berasa gembira untuk pulang bercuti sempena sambutan Aidiladha yang bakal diraikan pada Sabtu ini.
"Kami memang rapat dan sering bergurau, khususnya dengan Fahmi dan Arif. Malam tadi adalah kali terakhir kami tidur bersama kerana kami berkongsi bilik di asrama,” katanya yang mengetahui berita kematian itu melalui kumpulan WhatsApp.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Tambahnya lagi, ketiga-tiga mereka sedang mengikuti pengajian sijil lanjutan dalam Teknologi Mekanikal Kimpalan di IKBN dan telah merancang untuk menyewa sebuah rumah bersama pada Ogos ini.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa kesemua mangsa, berusia 19 tahun, maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kereta jenis Naza Citra.
Seorang lagi rakan mereka dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat pelanggaran itu.
Jenazah ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk tindakan lanjut.