KWSP rancang jual portfolio hospital swasta di UK bernilai RM8 bilion

Iklan
KWSP rancang jual portfolio hospital swasta di UK bernilai RM8 bilion. Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan sedang merancang untuk menjual portfolio hospital swasta miliknya di United Kingdom (UK) yang dianggarkan bernilai £1.4 bilion (kira-kira RM8.06 bilion).

Memetik laporan DagangNews, sumber yang mengetahui mengenai proses penjualan tersebut memaklumkan bahawa dana persaraan itu telah melantik firma broker hartanah antarabangsa, Knight Frank, bagi menawarkan 12 hartanah berkenaan untuk dijual.

Iklan
Iklan

Menurut individu yang enggan mendedahkan identitinya, hospital-hospital tersebut telah dibeli oleh satu konsortium yang diketuai oleh KWSP pada tahun 2013 dengan harga sekitar £700 juta (anggaran nilai semasa RM4.02 bilion) dan kini dikendalikan oleh Spire Healthcare Group PLC.

"Proses penjualan ini dilaksanakan secara tertutup, namun wakil daripada KWSP dan Knight Frank enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan,” katanya.

Iklan

Tambah sumber itu, sektor hartanah penjagaan kesihatan di Britain telah menunjukkan penurunan minat pelaburan tahun ini, apabila semakin ramai pelabur mencari aset alternatif dengan pajakan jangka panjang yang berkait dengan indeks.

"Antaranya, KKR & Co bersaing dengan Primary Health Properties PLC bagi mengambil alih Assura PLC yang memiliki portfolio hospital swasta bernilai £500 juta (RM2.87 bilion) pada tahun ini,” jelasnya.

Iklan

Menurutnya lagi, syarikat Aedifica SA juga telah bersetuju untuk mengambil alih saingannya, Cofinimmo, dalam satu perjanjian yang bakal mewujudkan sebuah amanah pelaburan hartanah (REIT) penjagaan kesihatan dengan nilai aset kasar mencecah lebih €12 bilion (RM58.09 bilion).

Sistem penjagaan kesihatan swasta di UK didapati berkembang pesat susulan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) negara itu bergelut menangani senarai menunggu yang semakin panjang akibat pandemik Covid-19.

Menurut data yang dikumpul oleh Persatuan Penanggung Insurans British tahun lalu, seramai 4.7 juta penduduk UK memiliki insurans kesihatan swasta menerusi majikan masing-masing pada tahun 2023.

"Pihak NHS turut memanfaatkan fasiliti hospital swasta untuk menjalankan prosedur pembedahan, dengan membelanjakan sebanyak £2.1 bilion (RM12.07 bilion) pada tahun 2024 bagi tujuan itu, menurut laporan LaingBuisson,” katanya lagi.

Selain itu, agensi awam tersebut juga dilaporkan membelanjakan tambahan sebanyak £1.5 bilion (RM8.62 bilion) bagi pelbagai rawatan di klinik-klinik swasta yang terpilih di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

"Kerajaan Britain turut mengumumkan pada awal tahun ini bahawa NHS akan menggunakan kemudahan penjagaan kesihatan swasta bagi menyediakan temujanji tambahan, imbasan dan pembedahan untuk mengurangkan tempoh menunggu pesakit,” ujarnya.