SHAH ALAM – Beberapa agensi haji dan umrah mengambil langkah proaktif menganjurkan program Arafah #QuranHour sempena Hari Arafah 1446H di Tanah Suci, yang berlangsung dari 5 hingga 7 Jun ini.
Dengan tema"Ummah Berbudi & Penyayang: Satu Kebangkitan", program ini memberi ruang kepada para jemaah untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui pendekatan baca, faham dan amal yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Antara agensi yang menjayakan inisiatif ini di Arafah dan Mina ialah Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS), Kawan International Travel Sdn Bhd, Azzuha Group Travel and Tours Sdn Bhd dan Juara Travel & Tours Sdn Bhd.
THTS memulakan sesi pertama Arafah #QuranHour pada 5 Jun selepas Subuh di Khemah Delima, Arafah, manakala sesi kedua dijadualkan berlangsung pada 7 Jun selepas Subuh di Mina.
Pembimbing Haji THTS merangkap pegawai Jakim, Ustaz Hamdan Mohamad, membawakan tadabbur bertajuk"5 Formula Membina Karakter Duyufurrahman”, berpandukan Surah al-Hajj dan Surah al-Saff.
"Arafah #QuranHour selari dengan misi memartabatkan al-Quran sebagai manual kehidupan, dan membina ummah yang rabbani, berilmu dan berakhlak. Ia bantu jemaah menyerap nilai-nilai spiritual saat menghadapi kemuncak ibadah haji," katanya.
Beliau menekankan bahawa Surah al-Saff menuntut kesatuan perjuangan, manakala Surah al-Hajj mengangkat peranan manusia sebagai khalifah yang perlu berlatih untuk tunduk dan patuh kepada Allah SWT.
Pengarah Urusan Kawan International Sdn Bhd, Ruzainun Abd Halim, menyifatkan program ini sebagai platform mendidik dan menyentuh hati jemaah secara mendalam, lebih-lebih lagi di Arafah yang menjadi detik puncak transformasi rohani.
"Program ini bantu jemaah menilai diri, memohon keampunan dan menyelami makna sebenar ibadah haji. Kita rancang awal, beri taklimat dan bahan bacaan agar jemaah lebih bersedia dari segi rohani,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa suasana tenang dan susunan khas di khemah turut disediakan untuk memberi ruang penghayatan sebenar kepada jemaah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Azzuha Group, Ustaz Redzwan Abdul Aziz, berkata Arafah #QuranHour berperanan menyuburkan nilai ukhuwah dan ruh al-Quran dalam diri jemaah.
"Momen wukuf adalah waktu terbaik mendekatkan diri dengan Allah melalui tadabbur. Kami sediakan pasukan yang bukan sahaja profesional, tetapi juga mahir mengurus keperluan pelbagai latar belakang jemaah,” katanya.
Menurut beliau, meskipun cuaca dan logistik sentiasa berubah, Azzuha kekal komited memastikan keselesaan, keselamatan dan kebajikan jemaah sentiasa dijaga."Haji adalah proses transformasi diri yang bukan hanya dirasai di Tanah Suci tetapi berterusan selepas pulang,” tambahnya.
Bagi Juara Travel & Tours, pelaksanaan Arafah #QuranHour sudah menjadi rutin tahunan. Pembimbing Haji, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar menegaskan bahawa ibadah haji adalah perjalanan jiwa dan raga yang wajib berpandukan al-Quran.
"Surah al-Hajj tekankan persiapan nilai dalaman dan luaran, termasuk penyusunan saf yang rapi seperti dalam solat. Ia simbol komuniti Islam yang bersatu hati dan matlamat,” jelasnya.
Juara Travel turut menganjurkan program ini dengan tema 5 Formula Membina Karakter Duyufurrahman pada 5 Jun di Maktab 82, Arafah dan 8 Jun di Hotel Durrat Rose, Syisya, Makkah.