Pegawai SPRM terima pengiktirafan profesional AI, pengurusan data

Iklan
Lukman Hakim Zainal menerima pensijilan profesional Kecerdasan Buatan (AI) dan Pengurusan Data

SHAH ALAM - Dua pegawai Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menerima pensijilan profesional Kecerdasan Buatan (AI) dan Pengurusan Data daripada HCL Technologies Limited (HCLTech), India.

Pegawai tersebut adalah Lukman Hakim Zainal dan Hasrol Hissam Osman.

Iklan
Iklan

SPRM dalam satu kenyataan berkata, kedua-duanya telah menamatkan program latihan profesional bertaraf antarabangsa iaitu"Accelerated Course for Competency Excellence: Innovative AI and Data Solutions for Public Sector Professionals".

Menurut SPRM, program tersebut berlangsung selama enam bulan bermula 11 November 2024 hingga 23 Mei 2025 di Chennai, Bangalore dan Hyderabad, India.

Iklan

"Dalam program itu, Lukman Hakim telah membangunkan projek akhir"Sentinel: MACC AI Criminal Intelligence Analytics”.

"Projek tersebut merupakan sebuah sistem pintar berasaskan AI yang berupaya menganalisis data dan maklumat tidak berstruktur, menjana peta jaringan entiti serta menghasilkan paparan visual yang membantu dalam operasi termasuk pengurusan maklumat risikan.

Iklan

"Melalui pembangunan projek tersebut, beliau telah menerima anugerah pencapaian terbaik program iaitu"Data Innovation Award” pada majlis penutup program yang berlangsung di IEG Campus Kuala Lumpur pada 21 Mei 2025," katanya pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, program latihan profesional ini merupakan kerjasama strategik kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersama Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), IEG Campus dan HCLTech India.

"Ia bertujuan meningkatkan keupayaan transformasi digital dalam sektor awam melalui aplikasi teknologi AI, data sains dan data pengurusan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada kedua-dua pegawai berkenaan.

"Ini kerana mereka berjaya menamatkan latihan ini dengan cemerlang seterusnya mengharumkan nama SPRM di peringkat nasional dan antarabangsa.

"SPRM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kerajaan Malaysia, JPA, UNIRAZAK, IEG Campus dan HCLTech atas penganjuran program ini yang telah membuka jalan ke arah pembangunan cara kerja lebih efisien, telus dan berteknologi tinggi,"ulasnya.