MyGiG sedia jadi wakil kerajaan, runding keperluan pekerja gig

Iklan
MyGiG sedia menjadi wakil kepada kerajaan untuk mengadakan rundingan bersama pemegang-pemegang taruh berhubung keseimbangan antara keperluan ekonomi dan keselamatan pekerja gig. Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Sekretariat Ekonomi GiG Malaysia (MyGiG) sedia menjadi wakil kepada kerajaan untuk mengadakan rundingan bersama pemegang-pemegang taruh berhubung keseimbangan antara keperluan ekonomi dan keselamatan pekerja gig.

Setiausaha MyGiG, Fairuz Jamaludin berkata, ini kerana sehingga ke hari ini badan kawal selia khusus industri gig belum lagi ditubuhkan secara rasmi oleh pihak kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, satu tindakan segera perlu diambil bagi menjamin kepentingan dan kebajikan pemain-pemain industri gig untuk sektor e-hailing dan p-hailing.

"Insya-ALLAH jika diberi mandat, kami akan mengadakan pertemuan bersama syarikat penyedia perkhidmatan dan rakan-rakan pemandu e-hailing serta p-hailing,

Iklan

"Kami juga akan menjemput bersama wakil-wakil daripada rakan niaga serta pengguna bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa meminggirkan mana-mana pihak yang terlibat.

"Kesepakatan dan kebersamaan dalam menangani isu ini adalah penting. Oleh itu, kami berpandangan bahawa langkah interim dan tindakan dasar jangka pendek perlu segera dilaksanakan bagi menjamin perlindungan sosial, keselamatan pekerjaan dan kesejahteraan mental para pekerja gig," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, terdapat berita kematian melibatkan 12 pekerja gig yang berlaku di Indonesia dan Singapura dan dipercayai berpunca daripada tekanan kerja melampau.

Jelasnya, tragedi kematian itu membuktikan betapa pentingnya aspek kesejahteraan mental dan fizikal dalam landskap pekerjaan gig.

"Sudah pasti, di peringkat sekretariat, kita tidak mahu peristiwa tersebut berlaku di Malaysia.Melalui pengalaman yang ada, kami yakin isu ini dapat diselesaikan dengan harmoni.

"Di peringkat sekretariat, kami juga akan menghantar laporan rasmi kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya mengambil tindakan segera dan sewajarnya,"ulasnya.

Tambah Fairuz, pihaknya turut mengharapkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GiG Malaysia disegerakan dan dimuktamadkan.

Beliau memberitahu, penubuhan itu bertujuan memberikan punca kuasa yang jelas kepada kerajaan untuk menggubal dasar, memantau pelaksanaan, menangani isu dan permasalahan yang melibatkan keseluruhan sektor ekonomi gig di Malaysia.

"Suruhanjaya ini penting sebagai entiti rasmi yang akan memperkukuh tadbir urus industri dan menjamin kebajikan para pemainnya secara berterusan.

"MyGiG menegaskan bahawa nyawa dan kebajikan manusia tidak boleh dikompromi dalam mengejar kemajuan ekonomi.

"Kesepaduan antara pihak kerajaan, industri dan pekerja perlu menjadi teras kepada reformasi struktur dalam ekosistem ekonomi gig Malaysia," katanya.