KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Seorang bekas pekerja stesen televisyen berbayar yang berdepan 743 kes menukarkan akaun pelanggan kepada akaun korporat tanpa kebenaran, pengsan semasa pertuduhan ke-30 dibaca di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Nora Idayu Jaafar, 48, yang mengaku tidak bersalah atas 30 pertuduhan di hadapan Hakim Norma Ismail, kemudiannya dibawa oleh pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun ini untuk menyambung prosiding bagi meneruskan baki 713 pertuduhan dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Ia termasuk syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mengikut 30 pertuduhan, wanita itu, yang bertugas sebagai Associate Department Commercial Support Unit Astro, didakwa telah membuat pengubahsuaian data bagi 30 akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat tanpa kebenaran.
Sedangkan tertuduh tahu bahawa perbuatan itu akan menyebabkan pengubahsuaian kandungan pangkalan data tanpa kuasa di dalam sistem itu, di Pejabat Astro, Menara Icon, Jalan Tun Razak di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang berdepan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abdul Rahman, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.